Wednesday, June 18, 2008

Penyakit adalah merupakan keadaan yang tidak normal dialami ternakan. Penyakit itu mempunyai tanda-tanda tertentu atau lebih dikenali sebagai symptom penyakit. Tanda-tanda ini digunakan oleh pegawai veterinar untuk menentukan jenis penyakit diperingkat awal dan rawatan yang akan diberikan. Saringan darah dan beberapa ujian lanjut diperlukan dalam menentukan penyakit sebenar dan proses ini memerlukan sedikit masa.
Di dalam satu-satu bidangusaha berbentuk komersil, seperti system kaprima ini, sebenarnya makna penyakit itu amat luas dan ia seharusnya merangkumi keadaan di mana ternakan yang "kelihatan" sihat tetapi tidak menunjukkan prestasi atau produktiviti yang optima. Misalnya, ternakan kambing yang muda dan menunjukkan pertumbuhan berat badan yang di bawah paras biasa (sistem yang sama ) semistinya dianggap kurang sehat atau berpenyakit. Keadaan seperti ini biasanya amat sukar untuk ditentukan punca atau penyebabnya. Bagi keadaan ini, proses membuat diagnosis memerlukan ujian-ujian yang lebih terperinci dan hanya boleh dilaksanakan dengan bantuan Makmal-makmal Veterinar Kawasan.
Program latihan dan pendedahan dalam bidang ini bukanlah bertujuan untuk menjadikan seseorang peserta itu mahir dalam rawatan ternakan kambing, tetapi sebagai panduan, bagi membolehkan peserta mengambil tindakan awal dan berikutnya untuk mengatasi sesuatu masaalah kesihatan dan produktiviti ternakan mereka.
PUNCA ATAU PENYEBAB SESUATU PENYAKIT
Amnya, sesuatu keadaan yang berpenyakit atau tidak berproduktiviti optima berpunca daripada tiga punca (penyebab) utama, iaitu:-
· Kesilapan Pengurusan
· Kesilapan Pembiakbakaan, dan
· Kuman.
Misalnya, kekurangan zat makanan, yang mungkin berpunca daripada ketiadaan modal untuk memperolehi palet kambing, menyebabkan sekumpulan kambing pembiak tidak mendapat zat-zat yang diperlukan untuk menjaga tahap kesihatan yang normal, jauh sekali daripada adanya kelebihan zat untuk keperluan pembiakan. Di dalam keadaan ini, kita akan dapati gerompok ibu pembiak menunjukkan kadar kelahiran yang rendah berserta dengan kadar kematian anak yang tinggi. Kesilapan program pembiakbakaan, misalnya berlaku perkahwinan antara ahli keluarga, berkesudahan dengan purata berat kelahiran anak rendah dan kadar pertumbuhan yang turut lambat ( terbantut). Dari sudut punca kuman pula, kerap kita dapati anak-anak kambing mengalami pembuangan tinja yang bercampur darah ekoran tahap kebersihan kandang yang tidak memuaskan.
Dalam keadaan sebenar berkemungkinan punca sesuatu keadaan yang tidah sehat itu boleh merangkumi ketiga-tiga punca tersebut atau pun secara berasingan.
Dari sudut kajibaka pula kita boleh mengupas punca keadaan yang tidak sehat ini dalam bentuk formula kajibaka, seperti berikut:-
Phenotype = Genotype + Environment
Formula tersebut boleh diperincikan seperti berikut:-
Phenotype = Genotype + ( E1+E2+E3+E4….)
Di mana E1 ialah kesan atau hasil yang berpunca daripada makanan dan pemakanan, E2 terdiri daripada punca atau kesan kuman, E3 terdiri daripada punca lain-lain pengurusan, manakala E4 terdiri daripada cuaca persekitaran dan musim dan seterusnya.
Phenotype bermaksud sifat-sifat yang diukur, seperti kadar kenaikan berat badan, berat semasa lahir, jumlah susu yang dihasilkan,bentuk tubuh badan,berat badan ketika matang dan berbagai sifat lagi yang mempunyai kepentingan ekonomi kepada bidangusaha. Manakala Genotype bermaksud kesan pembiakbakaan atau kesan penggunaan sesuatu baka ternakan, dalam kes ini ternakan kambing.
Pengalaman saya menunjukkan kesan E (Environment ) atau persekitaran ternakan adalah terpenting dan sesuatu yang para pengurus projek boleh ambil tindakan atau berbuat sesuatu mengenainya dalam usaha meningkatkan produktiviti serta keuntungan bidangusaha masing-masing.
KEPENTINGAN REKOD (CATATAN) DALAM MENENTUKAN SESUATU PENYAKIT
Sebagai satu prasyarat utama dalam aspek ini ialah pengenalan ternakan dan pengenalan kotak-kotak atau petak kandang.
Sebagaimana yang kita ketahui ternakan tidak mampu menyatakan sendiri kepada tuanya atau doctor haiwan mengenai kesakitan atau penyakit yang dihidapi. Symptom penyakit kebiasaanya digunakan untuk menentukan jenis penyakit yang dihadapi. Selain daripada itu, sejarah atau pun rentetan kejadian, misalnya perubahan jenis makanan, perubahan cuaca, kemasukan ternakan dari luar, rekod pelalian dan segala kejadia lain di lokasi, adalah merupakan perkara terpenting yang turut dikaji dalam menentukan permasaalahan yang sebenar dihadapi. Di kebanyakan kes, kajian sejarah ini awal-awal lagi akan memberikan petunjuk kepada pegawai veterinar tentang masaalah yang dihadapi.
Oleh sebab itu amatlah mustahak setiap pengusaha membuat catitan yang berkenaan dan menyimpan rekod yang ringkas dan sesuai. Para pengusaha perlulah mempelajari jenis rekod yang perlu disimpan, melalui kursus yang di adakan.
KESIHATAN GEROMPOK ATAU INDIVIDU?
Sesuatu penyakit boleh dilihat sebagai masaalah seseekor ternakan atau keadaan yang melibatkan sejumlah besar kumpulan atau gerompok ternakan. Kedua-dua keadaan ini penting, tetapi didalam menguruskan sesuatu projek yang komersil dan berdaya maju, pendekatan diagnosis serta rawatan dan pencegahan penyakit yang berbentuk gerompok lebih diutamakan, kerana implikasi kerugian yang akan dialami. Biasanya masaalah gerompok ini berpunca daripada punca yang umum, khususnya pengurusan.
Dalam system pemeliharaan yang intensif, seperti system KAPRIMA ini, pengurusan dan pengawalan sesuatu penyakit amat sesuai dan ekonomik diambil dari sudut atau pendekatan yang proaktif dan preventif dalam mengelakkan kejadian sesuatu penyakit. Jika ternakan, kebiasaanya baka dan bibit, yang dibawa masuk ke ladang/kandang itu sehat, maka tiada sebab kenapa penyakit itu tidak dapat dihindarkan sama sekali dari ladang berkenaan.
PEROLEHI BAKA & BIBIT DARI GEROMPOK YANG DIKETAHUI & DISAHKAN SIHAT OLEH JPH
Bagi projek yang kesemuanya baru, perolehan ternakan (Baka dan Bibit) daripada gerompok yang disahkan sehat adalah merupakan strategi terpenting, dalam usaha mewujudkan gerompok kaprima yang sehat dan produktif. Jika ini dilaksanakan bermakna bidangusaha anda akan senantiasa bebas daripada penyakit-penyakit yang berbahaya dan merugikan, kecuali gejala-gejala yang timbul dari kesan pengurusan gerompok yang tidak betul. Usaaha yang berbentuk preventif ini sudah pasti akan dapat mengurangkan perbelanjaa rawatan dan akhirnya kos pengeluaran kaprima itu sendiri.
Bagaimanakah anda boleh melaksanakan strategi ini? Nasehat saya ialah anda seeloknya, dalam tindakan ini, melibatkan pegawai daripada Jabatan Perkhidmatan Haiwan (JPH) yang berdekatan. Kenapa? Kerana pegawai-pegawai ini telah dilatih untuk mengenal ternakan yang sehat daripada yang tidak sehat, terutamanya ternakan yang kelihatan sehat tetapi sebenarnya tidak sehat. Kes sebegini hanya boleh ditentukan dengan membuat saringan darah dan ujian tertentu sahaja. Buat masa sekarang perkhidmatan ini hanya boleh diperolehi dari JPH sahaja.
Jika anda tidak berjaya untuk mendapatkan perkhidmatan daripada pegawai diperingkat JPH Daerah, anda masih boleh menguruskan usaha memilih gerompok yang sehat dengan menghubungi pegawai Kawasan Tumpuan Sasaran(KTS) yang terdekat. Kini terdapat 25 zon-zon KTS di seluruh semenanjung ( senarai seperti di lampiran ). Hampir kesemua zon-zon KTS ada ditempatkan seorang pegawai khusus untuk memberikan khidmat dan nasehat dalam pembangunan projek kambing.
KEBERSIHAN KANDANG
Kejadian penyakit bergantung kepada kebersihan dalam dan di bawah kandang. Lantai kandang perlu senantiasa bersih dan kering. Pergerakan udara yang baik akan memastikan lantai senantiasa kering dan mengurangkan kesan gas ammonia yang berpunca daripada takungan air kencing dan tinja ternakan yang terdapat di bawah kandang. Kebersihan kandang ini dapat mengurangkan jangkitan penyakit-penyakit yang berpunca daripada penghiduan udara yang mengandungi kuman dan bahan toksik.
TINDAKAN SANITARY AND PHYTOSYNATARI (SPS) LAIN
SPS ini boleh bermaksud segala usaha yang diambil dan menjurus kepada keadaan bebas daripada punca penyakit.
Kawasan projek perlu berpagar. Pagar jinis cyclone amat sesuai dan digalakkan. Kawasan di pagar bagi mengelakkan ternakan kambing dan lain ternakan daripada luar menghampiri dan bercampur dengan ternakan sedia ada. Ternakan daripada luar boleh menjadi punca kepada berbagai penyakit yang berjangkit.
Di pintu masuk ke projek perlu ada papan tanda melarang orang luar yang tidak berkenaan daripada memasuki premis ladang. Kawalan kemasukan orang luar perlu diperketat, terutamanya bagi mereka yang ada memeilihara kambing, dan perlu dikurangkan kemasukanya ke tahap paling rendah. Selain daripada itu satu kolam berubat disediakan di pintu masuk, supaya tayar-tayar kenderaan yang hendak masuk telah di disinfect sewajarnya sebelum memasuki ladang.
Kakitangan yang masuk keluar pun perlu mematuhi peraturan sps ladang, seperti membasuh atau mencelop gum boots sewaktu hendak memasuki ladang dan sewaktu keluar ladang.
Kedudukan stor makanan juga perlu mendapat perhatian. Setor ini sesuai diletakkan berhampiran pintu masuk, bagi mengelakkan kenderaan yang membawa makanan masuk jauh ke dalam ladang yang mana boleh menjadi agen pembawa kuman penyakit.
Peraturan sps ini perlu dicatit ke dalam satu manual, supaya memudahkan semua pihak membuat rujukan dan penambahbaikan.
TANDA-TANDA ATAU CIRI-CIRI KAMBING YANG TIDAK SIHAT DAN BERPENYAKIT.
Sistem pemuliharaan secara intensif ini adalah merupakan penambahbaikan dan sesuai dianggap sebagai satu teknologi bagi mengurangkan banyak penyakit dan keadaan yang mengurangkan produktiviti serta daya maju sesuatu bidangusaha kambing pedaging. Namun demikian beberapa jenis penyakit serta keadaan tidak normal masih berlaku yang berpunca daripada kesilapan pengurusan dan perumahan yang tidak sempurna. Pengurusan yang dimaksudkan merangkumi espek makanan dan pemakanan serta pembiakbakaan.
Saya mencadangkan supaya anda membiasakan diri dengan rupa dan ciri-ciri ternakan kambing yang sihat. Rupa atau ciri-ciri yang selainya adalah yang tidak sihat dan mudah dikenali.
Ciri-ciri am kambing yang tidak sihat dapat dilihat dari beberapa sudut seperti yang berikut:-
· Tahap Kecergasan
· Keadaan kulit.
· Gaya berjalan.
· Nafsu makan.
· Keadaan najis/tinja.
· Suhu badan.
· Denyutan nadi,
· Pernafasan yang tidak normal,
· Kadar pertumbuhan, dan
· Kadar kematian.
SUHU BADAN(T), DENYUTAN NADI(P) DAN PERNAFASAN(R) atau RINGKASNYA TPR.
Suhu badan, denyutan nadi dan pernafasan ternakan memang biasa digunakan sebagai penanda aras sama ada sesekor ternakan itu sehat atau sebaliknya. Setiap jinis ternakan mempunyai nilai normalnya sendiri. Bagi ternakan kambing yang sihat, nilai suhu badan, denyutan nadi dan pernafasan yang normal adalah seperti berikut:-
Suhu Badan Nadi Pernafasan
( celcious ) (denyutan/min) (pernafasan/min)
38.0 – 39.5 60 – 80 12 – 30
Kualiti denyutan nadi dan keadaan sesuatu pernafasan itu pula membawa erti dan pertunjuk yang menjuruskan kepada sesuatu penyakit yang berlainan. Apa yang penting anda boleh memberikan keterangan tentang setiap sifat dengan tepat hingga membolehkan sesuatu diagnosis di buat oleh pihak ke dua dengan mudah.
NAFSU MAKAN
Seperti kita juga, ternakan kambing yang sakit, kebiasaanya hilang nafsu untuk makan. Bagi kes-kes lain yang lebih kronik, ternakan mungkin dilihat berkeadaan normal dari aspek ini. Apa yang penting anda membuat penilaian yang tepat mengenainya.
Apabila kita menyediakan makanan, seperti pallet PKC, lebihan daripada biasa di dalam palong makanan, perlu dilihat sebagai petanda ada ternakan yang kurang makan dan perlu di teliti ternakan yang mana.
TINJA
Ternakan yang sehat mempunyai tinja yang berbiji-biji dan lembab. Keadaan tinja yang tidak normal termasuklah keadaan tinja yang cair, bercampur darah atau warna yang berbedza daripada yang normal dan kadangkala dengan bau yang berbedza.
KULIT ATAU PERMUKAAN BADAN
Ternakan yang sihat berbulu dalam bentuk terurus, berkilat dan licin. Bulu yang kusut masai mungkin berpunca daripada sesatu keadaan atau penyakit kulit, seperti jangkitan kulat atau pun berpunca daripada kekurangan zat tertentu. Kadangkala dengan meraba dengan tangan dipermukaan kulit boleh memberikan gambaran tambahan. Terdapatnya rasa berbutil-butil dan meluas mungkin disebabkan jangkitan bakteria dan kulat tertentu. Biasanya ternakan ini akan selalu mengarukan badannya pada tiang atau dinding kandang. Jangkitan kulit ini membuatkan juga bulu gugur dan kerap dilihat dialami oleh beberapa ekor ternakan dalam kelompok yang sama.
TERNAKAN SAKIT PERLU DIASINGKAN.
Ternakan yang tidak sehat perlu diasingkan. Setiap perumahan kambing perlu diadakan sebuah kandang atau petak bagi tujuan ini. Pengurusan sedemikian adalah bagi:-
· Mengelakkan penyakit menjangkiti ternakan lain,
· Kacauganggu oleh ternakan yang sehat,
· Tumpuan mudah diberikan oleh sesiapa yang membuat rawatan, dan
· Aliran tugas pekerja dapat diselaras dengan baik. Pekerja kumpulan sakit yang berasingan atau memulakan dengan ternakan sehat dan akhir sekali dengan kumpulan yang sakit.
JENIS PENYAKIT.
Berikut dibentangkan beberapa keadaan dan penyakit yang boleh didapati berlaku pada ternakan kambing pedaging system intensif.
· Jangkitan mata.
Respon kepada antibiotik eye oinment. Umur anak kambing yang kerap dijangkiti 3 bulan.
· Hidung berhingus.
Lebih kerap diperhatikan di musim hujan. Cuba ubah kepada lain broadspectrum antibiotik selepas 3 hari penggunaan antibiotik yang terdahulu.
Kematian sewaktu pemindahan 10%.
Dicadangkan: Mineral block perlu senantiasa ada dan multi vitamins diberikan melalui air minuman. Kematian yang tinggi boleh berlaku pada bulan pertama dan kedua, dan seterusnya berkeadaan stabil. Ini berpunca daripada aspek pembelajaran yang berlaku bagi penternak yang baru bermula.
Radang Paru-Paru (Pneumonia)
Penyebab.
· Virus, bacteria, bahan kimia dan parasite.
· Tegasan (Cuaca sejuk, pemakanan tidak bermutu, beban cacing, Ventilation tidak baik, )
Tanda Klinikal.
· Bersin, batuk basah dan berhingus,
· Sesak atau sukar bernafas, kadangkala kadar pernafasan tinggi daripada biasa,
· Bunyi pernafasan kedengaran dan luarbiasa,
· Demam (suhu badan tinggi daripada normal),
· Tiada nafsu makan,
· Lemah, dan jika berlarutuan badan menjadi kurus,
· Kelihatan moyok dan mengasingkan diri,
· Kematian mengejut (bagi kes yang peracute ).
Tindakan Pengurusan.
· Asingkan ternakan ke kandang sakit,
· Kurangkan Stress,
· Dapatkan bantuan Pegawai Veterinar atau JPH.
· Berikan perhatian yang sesuai ( TLC. ),
· Perbetulkan kesilapan pengurusan ternakan yang berkaitan.
Puru( Contagious ecthyma).
Penyebab.: Virus.
Tanda Klinikal.
· Biasanya menyerang anak-anak kambing yang masih menyusu,
· Kawasan mulut( bibir dan gusi ) biasanya dijangkiti, dimana ia bermula sebagai gelembung-gelembung yang mengandungi cecair dan setelah pecah ianya menjadi kuping dan merekah yang berwarna merah,
· Pertumbuhan kulit yang mengerutu,
· Berbutil-butil di merata badan,
· Di antara celah kuku kaki juga kebiasan keadaan ini terjadi.
Tindakan Pengurusan.
· Asingkan ternakan yang berpenyakit,
· Rawat dengan menggunakan gentian violet, iodine dan krim acriflavin, dan
· Pelalian dengan menggunakan veksin autogenous. dan sila berhubung dengan JPH.
Cirit-beret( Diarrohea).
Penyebab.
· Kesilapan pengurusan,
· Jangkitan kuman(bacteria, virus, dan protozoa) dan cacing,
· Keracunan bahan kimia.
· Kesilapan pengurusan termasuklah pemberian makananyang tidak sesuai, peralatan makanan dan minuman yang tidak bersih dan air yang tercemar.
Tanda Klinikal.
· Najis cair, dan berubah bau/warna,
· Kotor dan basah disekeliling pangkal ekor,
· Mengecut badan (kurus) yang berpunca dari kehilangan air yang banyak,
· Lemah dan berakhir dengan kematian.
Cirit-Beret (Diarrohea)
Tindakan pengurusan.
· Asingkan ternakan yang sakit,
· Tingkatkan kebersihan,
· Pengurusan makanan yang betul, perubahan makanan perlu dilakukan secara beransur-ansur,
· Pemberian ubat cacing (jika berpunca daripada cacing),
· Bagi anak-anak kambing, kawalselia penyusuan,
· Dapatkan rawatan segera daripada kakitangan JPH yang berdekatan.
Rawatan yang akan diberikan termasuklah ubat antidiarrhoea, antibiotik dan metabolic stimulant.
Buruk Kuku( Foot Rot).
Penyebab.
· Sejenis Bakteria,
· Permukaan kandang yang sentiasa lembab,
Tanda Klinikal.
· Tisu dicelah kuku menjadi reput dan berbau,
· Sempadanan kuku dan kulit kelihatan merah, bengkak dan sakit bila disentuh,
· Tempang,
· Septiksemia ( demam, dan tiada selera makan)
· Kematian, bagi kes-kes yang amat serius.
Tindakan Pengurusan.
· Bersihkan kuku yang sakit,
· Rendamkan kaki ke dalam cecair yang terdiri daripada 5% kupram sulfat sekalai sehari untuk 3 hari berturut-turut,
· Tempatkan ternakan di kandang yang senantiasa kering,
· Semua ternakan lain yang sehat dipastikan melalui footbath yang terdiri daripada 5% kupram sulfat, setiap hari selagi kes-kes baru ujud.
· Dapatkan rawatan lanjut daripada pegawai JPH bagi setiap kes klinikal.
Caseous Lmphadenitis(CLA).
Penyakit ini adalah merupakan satu penyakit yang amat penting dari sudut ekonomi projek kambing pedaging itu sendiri. Jangkitan boleh berlaku sehingga 18% daripada kumpulan yang boleh dijangkiti. Takaian ternakan yang dijangkiti, serta rawatan bagi ternakan lain yang belum menunjukkan tanda, atau pun pelalian, adalah merupakan kos yang mahal.
Penyakit ini disebabkan sejinis kuman bakteria, yang dipanggil Corynebacterium pseudotuberculosis. Ciri penyakit ialah terdapat bengkak-bengkak di pangkal telinga dan bawah dagu ternakan. Banyak ternakan dewasa dijangkiti sekali gus, dan menunjukkan tanda penyakit. Ini disebabkan bentuk jangkitan yang kronik serta mengambil masa untuk menunjukkan tanda bengkak seperti yang diterangkan. Ternakan semuda 6 bulan boleh dijangkiti.
Rawatan kebiasaanya tidak memberikan sebarang kesan yang dikehendaki, sungguh pun kebanyakan antibiotik boleh membunuh kuman tersebut. Bermakna mengelak penyakit ini daripada berlaku lebih sesuai. Pertama, ialah dengan memilihan ternakan daripada punca (ladang ) yang diketahui bersih daripada kejadian penyakit ini adalah penting. Kedua, elakkan terdapatnya di kandang-kandang benda-benda yang boleh melukakan kulit, kerana luka ini diketahui sebagai punca kemasukan kuman ini ke dalam badan dan seterusnya menyebabkan penyakit.
Bagi kumpulan yang didapati telah dijangkiti, biasanya dengan penemuan kes bengkak dipangkal telinga dan di bawah dagu, seperti yang diterangkan, tindakan berikutnya adalah dicadangkan supaya diambil. Pertama, asingkan ternakan yang mempunyai tanda penyakit ke dalam satu kandang. Ternakan dewasa lain yang bersentuhan dan datang daripada punca yang sama, sesuai diberikan suntikan antibiotik selama 3 hari berturut-turut.
Awas, kuman ini boleh menjangkiti manusia. Amalkan tahap kebersihan diri yang tinggi, selepas mengendalikan ternakan yang sakit.
Kembung( Tymphany ).
Penyebab.
· Tersilap makan (makan dedaun yang beracun atau mengandungi bahan nitrogen yang tinggi seperti jinis kekacang),
· Terlalu banyak makan PKC,
· Gangguan fizikal (sekatan di bahagian leher ),
· Pertukaran jenis makanan yang terlalu mendadak.
Tanda Klinikal.
· Pembesaran perut di sebelah kiri, dan bila diketuk berbunyi seperti gendang,
· Ternakan resah dan menunjukkan tanda sakit di bahagian perut,
· Tidak mau makan,
· Terbaring dan kesakitan,
· Kadar pernafasan yang tinggi, sesak nafas dan kematian.
Tindakan pengurusan.
· Stomach tubing,
· Berikan ubat penahan kembung (ante-bloat) terus ke dalam perut(rumen),
· Tebuk perut ( bagi kes kes yang serius ) dengan menggunakan alat Trocha and cannulla.
· Uruskan bahan makanan dengan betul.
Kurang Darah ( Anaemia )
Kekurangan darah adalah satu keadaan di mana bilangan sel-sel darah merah didapati kurang daripada biasa.
Tanda-tanda
· Muka pucat - bibir , gusi dan lidah yang pucat,
· Mata - lapisan dalam kelopak mata juga keputihan,
· Lemah,
· Bulu meremang dan takterurus,
· Badan kurus
Rawatan dan Pencegahan
· Memberi makanan yang cukup dan berzat,
· Menambahkan zat besi,
· Memberi vitamin untuk selera makan,
· Rawatan beban cacing,
· Pembasmian kutu, jika ada.
Kancing Gigi
Penyakit ini adalah disebabkan oleh racun sejenis kuman yang boleh merosakkan saraf. Ini biasa terjadi apabila terdapat luka-luka kecil badan/ kulit ternakan itu. Kemungkinan termasuk kotoran di mana kuman ini dapat membiak. Kuman inilah yang mengeluarkan racun kelak.
Tanda-tanda
· Keseluruhan badan menggigil dan menggeletar yang tidak boleh dikawal. Keempat-empat kaki akan menjadi lurus, tegang dan keras.
· Mulut akan terkancing ( kancing gigi) dan kepala biasanya mendongak ke atas. Kalau terjadi semasa berdiri, ianya akan tumbang.
· Tanda-tanda ini menjadi lebih teruk apabila terdapat rangsangan bunyi yang kuat dan juga cahaya yang terang.
Pencegahan
· Suntikan toxoid semasa 3 bulan,
· Mengubat luka-luka terutama ‘ puncture wound’
Ubatan
· Antititanus dan toxoid,
· Pelalian.
Luka-Luka.
Luka boleh disebabkan oleh benda-benda yang tajam. Walaupun ianya diaggap ringan tetapi jika tidak diberi perhatian akan menjadi busuk dan berulat. Apabila berlaku luka-luka, rawatan segera hendaklah dibuat.
Rawatan
· Bahagian sekeliling kudis dicukur dan dicuci bersih dengan ubat kuning ( iodine ) supaya tiada terdapat kekotoran dan habuk,
· Sapukan ubat ‘ lorexane’ pada luka,
· Semburkan ubat penjauh lalat seperti ‘ gusanex’ ataupun ‘negasunt’.
Kurap
Kurap boleh terjadi disebabkan oleh kulat atau ektoparasit ( mange )
Tanda-tanda
· Keguguran bulu pada bahagian tubuh dan kadang-kadang
· disertai dengan kudis-kudis yang bernanah kerana parasit
· ini menggali lapisan kulit menyebabkan gatal dan
· kerosakan akar rambut.
Rawatan
· Kurap yang disebabkan oleh kulat boleh disapu dengan
· iodine sementara kurap yang disebabkan oleh ‘mange’
· pula dikehendaki untuk dirawat dengan ubat serangga
· seperti 1% larutan malathion yang membunuh parasit
· dewasa. Rawatan hendaklah diulangi tiap-tiap 10-14 hari selama 3 kali.
JangkitanCacing
Bagi sistem intensif, jangkitan cacing tak seharusnya menjadi masaalah. Apa yang perlu diperhatikan ialah semasa kemasukan ternakan yang baru. Ternakan ini perlu di berikan rawatan dengan ubat cacing yang sesuai.
Pengurusan Ternakan Masa Lahir
Ternakan yang baru lahir perlu mendapat kolostrum (susu awal) dalam tempoh 24 jam. Kolostrum perlu diberikan dalam tempoh 15 minit kelahiran, bagi mengerak mula system penghadaman serta membantu mencegah berbagai penyakit. Susu awal ini mengandungi antibody yang diperlukan oleh anak yang baru lahir untuk melawan berbagai jenis penyakit.
Perlu ditekankan disini, ibu yang melahirkan anak kali pertama perlu mendapat perhatian yang lebih dari anda yang meguruskan ternakan kerana ibu ini masih tidak pandai menysu dan menguruskan anaknya. Dalam keadaan ini anda perlu memerahkan susu kolostrum dan memberikan anak itu susu tersebut dengan mengunakan syringe dan tiub. Dalam proses ini pastikan kebersihan diambil kira.
Sebagai usaha merapatkan hubungan ( bonding ) ibu dengan anaknya, biasanya kedua ternakan ini dikurung bersama di dalam satu magic box . Ini juga bagi mengelakkan anak daripada dianaya oleh ternakan lain dari kumpulan yang sama. Lingkungan kotak ini dialas dengan guni, supaya kaki anak tidak tersepit dicelah lantai dan boleh menyebabkan kecederaan dan patah.
Pelalian
Pelalian ialah satu program suntikan mencegah sesuatu penyakit yang berjadual, yang diberikan kepada kumpulan ternakan, bagi meningkatkan dayatahan ternakan berkenaan terhadap penyakit berkenaan. Program pelalian ini dijalankan di bawah aktiviti Kesihatan Ternakan Gerompok. Bagi sesuatu program, untuk keberkesanan, sekurangnya 70% kumpulan sasar perlu mendapat suntikan veksin berkenaan.
Bagi projek KAPRIMA, setiap ternakan yang berumur melebihi 6 (enam) bulan perlu diberikan suntikan veksin Heptovec sekali dalam setahun. Ia bermula dengan pelalian pertama pada umur enam bulan dan diberikan suntikan penggalak( booster ) dalam tempoh sebulan. Kemudian diberikan sekali setiap tahun. Usaha ini mampu menghindarkan ternakan daripada beberapa penyakit, seperti radang paru-paru, kejang otot, black leg, dan hawar, yang boleh menyebabkan kematian yang tinggi.
Pengurusan Kematian Ternakan
Ternakan yang mati perlu dilakukan bedah siasat (Post Mortem, PM ) oleh pegawai JPH yang terlatih. Tujuan PM ini dijalankan ialah bagi menntukan punca dan sebab sesuatu kematian. Maklumat ini diperlukan bagi merangkan tindakan pencegahan dan kawalan terutamanya yang melibatkan penyakit berjangkit. Keputusan bedah siasat ini juga diperlukan jika seseorang pengusaha yang ingin membuat sebarang tuntutan atau pampasan, jika berkaitan.
Apa yang lebih penting ialah kaedah melupuskan bangkai berkenaan. Kebiasaanya kita menanam bangkai berkenaan. Jika kaedah ini dilakukan, perhatikan bahawa kedalaman lubang perlu tidak kurang daripada 6 kaki. Setelah diletakkan bangkai, ianya perlu ditabur dengan kapur (lime) dan setalah dikambus di tabur kapur sekali lagi. Pilihlah lokasi yang sesuai di ladang anda.
Sungguh pun kaedah ini biasa dilakukan, kita perlu ingat bahawa di bawah tanah sana terdapat mata air dan aliranya ke lain kawasan boleh membawa kuman punca kematian ternakan berkenaan. Kadangkala cacing turut membawa kuman ke permukaan tanah. Oleh kerana perkara tersebut ada pihak yang mengalakkan supaya semua bangkai dilupus dengan cara pembakaran yang betul, misalnya dengan penggunaan alat incinerator.
Catitan Harian Ladang
Setiap ladang digalakkan merekod segala perkara yang berlaku di ladang masing-masing. Catitan ini meliputi semua hal, termasuklah pelawat-pelawat yang datang, kenderaan yang keluar masuk, bekalan makanan yang tidak sampai dan berbagai lagi.
Catitan ini amat membantu pegawai veterinary dalam menentukan punca sesuatu penyakit, terutamanya penyakit yang bepunca dari jangkitan kuman virus. Dairy ini akan dirujuk dalam usaha menentukan punca sesuatu masaalah yang dialami ternakan dan seterusnya dalam menyediakan pelan tindakan pencegahan sesuatu penyakit.
Penutup
Nota tersebut di atas bukanlah sesuatu yang paling lengkap. Anda perlulah berusaha untuk terus mendapatkan kemahiran, terutamanya dalam mengenali sesuatu penyakit dan tindakan bagaimana hendak mengelakkanya, daripada lain-lain punca. Apa yang juga penting perlu ditekankan disini ialah usaha proaktif dan preventif yang perlu diambil oleh setiap pengusaha. Anda digalakkan supaya terus berdamping dengan pegawai-pegawai di JPH. dan pengusaha lain yang berjaya, supaya penyakit-penyakit yang tidak dingini ini dapat dielakkan dan dengan kos yang berpatutan. Kecekapan dalam usaha mengurangkan masaalah kesihatan ini akhirnya merendahkan kos pengeluaran, bermakna keuntungan bidangusaha akan meningkat.

No comments: